DENGAN NAMA ALLAH

DENGAN NAMA ALLAH

Halaman

Ingatan untuk ku dan kalian



وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.

Yang bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3).


Mari kita aminkan

Pengikut

Selasa, 24 Mei 2016

Penyambuat tetamu.

Hujung minggu lepas saya suami isteri membawa emak  memenuhi jemputan salah seorang anak kepada kejiranan kami semasa kecil dahulu. Turut sama dalam konvoi adalah adik saya bersama 3 orang anak remajanya. Perjalanan kami memakan masa 2 jam ke lokasi tersebut. Kami terpaksa pergi seawal pagi kerana dijangka tengahari kami akan sampai di rumah kerana jiran kami pula akan mengadakan kenduri arwah bermula jam 2.30 petang.

Untuk ke lokasi tersebut kami berpandukan plan pada kad jemputan.  Tuan rumah tersebut sebelah perempuannya adalah teman sepermainan saya semasa kecil. Beliau telah berumahtangga dan meninggalkan kampung seusia 17 tahun. Dengan menerima kiriman kad jemputan tersebut berbunga-bungalah hati saya kerana dapat peluang berjejek kasih dengan beliau setelah lama berpisah. Setinggi-tinggi kebahagiaan dihati saya kerena beliau masih mengingati saya dan diundang ke majlis perkahwinan anaknya yang terakhir.

Sesampainya disana kami disambut oleh hujan renyai-renyai yang di selangi gema pembesar suara ditahap maksima. Saya telah menyediakan skrip bila ditanya oleh penyambut tetamu saya akan perkenalkan diri dari kampung asal saya bukan tempat tinggal saya terkini. Setibanya di sana rupa-rupanya telah ada satu kumpulan konvoi dari kampung Mak saya sedang duduk di bawah bangsal berhampiran meja makan pengantin.. Menurutnya telah 1 jam mereka di situ tanpa ada yang meyapanyanya. Samalah seperti situasi kami,walaupun ada beberapa orang di bawah khemah tersebut dan menjawab salam dari kami,namun tiada siapa yang mengajukan soalan sebagaimana skrip jawapan yang saya sediakan. Sememangnya khenduri belum bermula,dibangsal masing-masing sedang sebok rewang. kami yang perempuan masuk kedalam rumah dan duduk dihadapan pelamain. Beberapa anak muda melintas di ruangan kami namun tiada seorang pun yang menyapa. Pada ketika itulah kami mengambil kesempatan untuk memberi sedikit takzirah pada 3 orang anak saudara dan juga dua orang anak kepada rombongan dari kampung saya tadi. 

"Bagaimana rasa bila kita masuk ketempat orang,dalam keadaan begini? kalau kita rasa tak selesa jangan buat macamni. Masa kita berada dirumah saudara mara tolong peduli pada tetamu yang datang kemudian. Sambut dan lontarkan soalan yang menunjukan kita cakna mereka, contohnya sila masuk Makcik, Makcik dari mana,Tuan rumah sedang sebok bersiap,jemput duduk dulu dan sebagainya" 

Kumpulan rombongan yang pertama tadi bersetuju dengan kata-kata saya. Perkara ini tidak diajar disekolah,jadi ketika inilah paling sesuai diaplikasikan dalam situasi semasa. 

Khamis, 19 Mei 2016

CERITA GURU PART 2

Sebagai bekas guru tentu sekali terasa sakitnya bila rakan sejawat menjadi bahan senda dan kecaman di sosial media terutama facebook dan blog. Kalau di blog kita boleh elakakan dari pada masuk kerumah sebegini tetapi di facebook agak sukar kerena isu tersebut di share dan masuk timeline kita. Biasanya yang menviralkan adalah individu yang bermasaalah dari segi akhlaknya kerena bila kita intai statusnya kita dapat baca siapakah dia.

Guru manusia biasa dan tidak maksum. Dalam sebuah sekolah pastinya ada 2 atau 3 orang yang bermasaalah. Memang ada panas baran cepat melenting bila tersentuh. Melenting apabila menghadap krenah anak murid. Ada juga yang berkira kerja,hanya melakukan kerja yang ditulis dikertas sahaja dan tidak peduli kerja yang lain. contohnya bila sesuatu program dia bahagian buku program dia tidak akan menolong bahagian lain. Ataupun mengungkit ungkit seolah-olah dia sahaja yang banyak kerja.Ada juga sentiasa menarik diri dalam setiap tugas dengan alasan tidak tahu,tidak minat dan sebagainya.  Menarik diri bila mendapat arahan kursus dengan berbagai alasan sehingga menyebabkan orang lain pula yang memikulnya. Ada juga yang tegar ber sosial di media maya hingga mengabaikan tugas namun ada juga yang sentiasa menutup pintu hati dalam IT,semua tidak tahu padahal entah berapa kali didedahkan dalam kursus.

Walaubagaimanapun senarai yang negative diatas bukan lah terkumpul pada satu-satu individu sahaja. Di sebalik satu-satu yang negetif ada yang positif. Contohnya walaupun dia panas baran,cepat melenting tapi dia sangat komited dengan kerja. Semua kerja-kerja online, file file,rekod pelajar semua update. Pemeriksaan kerja pelajar semua siap, Pedagogi sentiasa menarik. Walaupun kerja berkira namun kerja yang ditugaskan dilakukan dengan sempurna. Walaupun dia suka menarik diri bila kursus naun perhubungan dengan semua orang disekeliling baik terutama dengan pentadbir sehingga pentadbir dengan mudah menerima alasannya. Begitulah seterusnya.

Bagi yang pernah menceburi dunia perguruan tahulah bagaimana beratnya beban yang terpikul. Seorang guru kena mengorbankan wang gajinya untuk membeli peralatan seperti komputer,pencetak,kertas A4,alat-alat tulis dan sebagainya. Adakalanya lapik meja dan acessori meja bilik guru atau meja kelas pun beli sendiri. Guru juga kena membayar berbagai yuran yang dikehendaki oleh pihak atasan contohnya bayaran hari guru untuk sambutan peringkat daerah bagi meraikan vip yang diundang,sedangkan guru-guru tidak merasai suasana sambutan. Bila hari guru guru-guru mengeluarkan duitsendiri untuk sambutan di peringkat sekolah. Namun bagi saya perkara ini tidaklah begitu berat kerena kepuasan memudahkan tugas itu menutup rasa terbeban itu.

Bagi menjalankan aktiviti ko kurikulum pelajar,guru-guru kena mengeluarkan belanja minyak sendiri,adakalanya pihak pentadbir bermurah hati memberi peruntukan, bergantung pada budibicara pihak pentadbir. Pengalaman saya membawa pelajar camping saya menggunakan van membawa 10 orang pelajar,kereta lain membawa 4 pelajar,diberi jumlah yang sama untuk membeli minyak. Pada ketika itu bisikan syaitan kadang kuat melupuskan rasa keikhlasan. Pentadbir bersilih ganti ada ketikanya ada team pentadbir yang murah hati dan sebaliknya. Apa lagi semasa latihan,guru yang menjadi jurulatih kena mengorbankan masa diluar masa persekolahan disamping guru lain berehat dirumah.  Namun bila mendapat tahu pelajar kita mendapat tempat yang baik dalam pertandingan atau penyertaan kegembiraan itu melupuskan segala-galanya malah mengeluarkan belanja lagi untuk belanja pelajar makan. Apabila melihat anak murid berpeluang melibatkan diri dengan bersama rakan-rakan dari sekolah lain rasa puas,lupa tentang perkara-perkara yang membebankan.

Sekarang ini era penggunaan data online,mungkin zaman perubahan,selain data online kena update data atas kertas juga masih tidak boleh ditinggalkan. Walaupun telah ada rekod kedatangan online,rekod kedatangn dalam buku masih kena siapkan. Begitujuga reokod pemarkahan pelajar,rekod peka,rekod kesihatan,rekod gigi dan bermacam-macam lagi, Sebarang data online kena update sebab pihak serve akan rekod mana-mana sekolah yang gagal berbuat demikian dan diviralkan. Begitulah seterusnya,mungkin juga ketika zaman peralihan ini ianya semacam membebankan, Harapanya suatu masa nanti semuanya ini dianggap kebiasaan,kerana menurut ang membina sistem ianya dibena untuk memudahkan bukan menyusahkan.

Suatu masa nanti apabila semuanya telah menjadi kebiasaan harapan kita bairlah guru-guru menumpukan sepenuh masa pada mendidik anak-anak yang kelihatannya semakin parah situasi akhlaknya. Kita harap juga penbena dasar pelajaran biarlah insan-insan yang kuat pemahamananya dalam al Quran dan Hadith sebagai penanda arasnya.




Rabu, 11 Mei 2016

Cerita Cikgu part 1

Semakin dekat dengan Madrasah Ramadhan semakin banyak berita kematian,yang muda,yang tua,yang bujang yang berkahwin tidak kira status. Bagi yang memandang dengan mata hati akan berfikir bila pula giliran kita. Hari ini saya dan suami  menziarahi dua kematian. Selepas itu kami singgah di tepi pantai. Bukan lapar sangat pun sekadar mahu duduk minum sambil menikmati Selat Melaka. Memesan mee udang dan ABC pun untuk berdua.





Tiba-tiba lalu kelibat 2 orang pemuda dan memberi salam pada kami. Dua-duanya bekas anak murid sekolah rendah. Kami pun panggil mereka dan duduk bersama-sama dan memesan makanan lain untuk mereka. Sorang sedang menuntut di IPT mengambil pendidikan yang sorang lagi mengajar di SRA. Bermacam-macam perkara yang mereka imbau semasa sekolah rendah dulu yang ada kalanya saya pun dah lupa.

"Bila dah belajar pendidikan di cikgu baru saya tahu kenapa cikgu-cikgu saya dulu pandainya menarik perhatian kami supaya suka belajar" Kata salah seorang dari mereka

"Bila dah mengajar ni cikgu baru sedar betepa sabarnya cikgu-cikgu saya dulu mengajar saya. Kadang-kadang geramnya tengok perangai anak murid,tapi bila teringat saya pun dulu macam tu juga,jadi dapatlah bertenang" kata yang seorang lagi. Masing-masing ketawa.

"Cikgu berdua dapat bertahan mengajar sampai 30 tahun lebih,mesti banyak cerita kan cikgu"

"Cikgu ingat tak cikgu dulu kalau kami tak bawak bahan experimen masa belajar sains,cikgu suruh kami berdiri diluar bilik makmal dan menonton kawan-kawan buat experiment, Hahaha deraan mental tu cikgu,tapi lepas tu kami serik,bila buat experiment suruh bawak bahan mesti kita orang bawak"

Ya memang saya ingat. Adakalnya bahan-bahan tu saya bawa bila ianya agak membahayakan,tetapi ada juga yang mereka perlu cari sendiri contohnya hendak menguji asid dan alkali,perlulah mereka bawa bahan bahan dari dapur rumah mereka, atau untuk menguji bahan penebat dan konduktor. Bila mereka bawa sendiri tentu lebih implisit pengetahuan mereka. Pada hari sebelum eperiment dijalankan telah dibincangkan pembahagian tugas dan arahan,setiap orang bersetuju apa yang perlu dibawa,bila hari kejadian beberapa orang masuk dengan tangan kosong,dengan alasan lupa. Perkara begini memang amat menjengkelkan,tetapi cikgu perlu bertenag,stabilkan emosi,elakan stress. jadi cari jalan bagaimana mengatasi individu seperti ini supaya tidak mengulangi kelalaiannya lagi.

Pandai mereka mengorek cerita,maka satu demi satu pengalaman saya di koreknya.

Kami tutup perjumpaan dengan mereka dengan kata-kata beberapa pesanan. Teruskan kehidupan dengan sentiasa ingat kita ini hambaNYA, Berusaha meningkatkan kehidupan dan jadikan dunia yang kita bena ini adalah jambatan ke akhirat. Kawan-kawan kami ramai yag kaya tapi  semasa sekolah bukan seorang pelajar yang pandai pun,  Walaupun mereka kaya mereka dermawan. Dalam group reunion kami ada diwujudkan tabung kebajikan bagi membantu kawan-kawan yang menghadapi masaalah, Jadi semua anak-anak muda sekarang benalah kehidupan untuk diri sendiri dan bantu juga orang lain untuk membina kehidupan kerana kebijaksanaan kita membina kehidupan itu adalah ilham yang diberi oleh al Khalik.

Seleps perjumpaan ini teringin pula saya menulis kehidupan seorang guru.

Khamis, 5 Mei 2016

TAMAN-TAMAN SYURGA BERSAMA PROF DR WAN MASERI

Sebelum ini saya tidak berapa mengenali siapa dia Dr Wan Maseri sehinggalah Jemaah kami membuat keputusan untuk menjemput beliau datang ke tempat kami untuk mengisi program penghayatan Asmaul Husna. Kebetulan pula dalam Jemaah kami ada adik Nisa' bekas pelajar UMP yang rapat dengan beliau. Begitu lama kami menunggu kekosongan jadual beliau akhirnya sampai juga masanya 2 May 2015 sempena cuti hari Buruh. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada ya Khaliq Ya Bari' Ya Razak yang telah memilih saya untuk peluang dan ruang berada di taman taman syurga bersama Beliau. Dengan tajuk Penghayatan Asmaul Husna untuk kemenangan.Alhamdulillah. 

Sebelum ini saya telah menghafal Asmaul Husna tambah lagi ianya telah di viralkan dalam bentuk lagu. maka dengan mudah kita menghafalnya tetapi tidak menghayatinya. Ya selama ini kita berusaha untuk mengambil hati orang yang kita kasihi disekeliling kita tetapi kita lupa mengambil hati Yang mencipta kita. Kita berjuang mengenal orang yang kita kasihi tetapi lupa mengenal Penciptanya. Kita perlu mengenal Allah dengan benar-benar ikhlas bukan hanya waktu berduka, bukan juga hanya untuk mendapat mpenyelesaian hidup tetapi kerena kita betul-betul cinta Allah. Kita rindu dan tidak boleh hidup tanpaNYA.

Pandanglah Allah dengan mata hati yakni pandangan yang meyakini bahawa segala sesuatu itu datang daripada Allah. Rasailah kehadiran Allah yang dekat dengan kita pada setiap saat kehidupan kita. Setiapa kali pandangan  kita melihat haiwan, langit dan alam semesta, lihatlah pada pada siapa penciptanya dan rasailah betapa hebatnya Allah yang menciptakan haiwan-haiwan yang berbilang jenis dan warna untuk kita berfikir.

Untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan kena sentiasa bawa Allah dalam hati kita. Ketaatan pada ketua sangat perlu. Tolong jangan menghina tok guru dan ulamak kerana mereka pewaris nabi. oleh kerana mereka adalah manusia biasa bukan rasul atau nabi jadi mereka tidak maksum,kalau mereka maksum kita akan taksub dan  menyanjungnya melebihi Khaliknya. Itu sebab adakalnya Allah buka sedikit aibnya untuk kita menyedari bahawa mereka ialah manusia biasa yang tidak maksum.

ANTARA SLAID YANG SAYA DAPAT SONGLAP DARI TAMAN SYORGA TERSEBUT

Bila balik saya pun terus mengoogle dan jumpalah youtube youtube beliau,selepas ini saya akan mengikuti beliau.





Rabu, 4 Mei 2016

SEKOLAH ALAM KE ACHEH

Anak2 bincang tentang satu trip untuk masa cuti. Saya bagi penanda arasnya bukan tujuan shoping, Mesti berbentuk tadabbur alam dengan perbelanjaan mampu milik.  Akhirnya ambik keputusan ke Acheh. Antara sebabnya ialah Tiket mampu milik,Lokasi untuk tadabbur alam sangat sesuai iaitu kesan stunami dan Acheh sebagai pentadbiran mengikut al Quran.Selain daripada itu mencari asbab mengapa di gelar serambi mekah.

Untuk teket penerbangan saya bersedia menanggung semua  kos, Disebabkan 4 dari mereka telah bekerja  saya serahkan mereka untuk uruskan yang lain, saya beri kesempatan kepada mereka untuk berkongsi perbelanjaan,tantetif dan buah fikiran. yang penting penting ada ziarah rumah anak yatim dlm tantetif.

Alhamdulillah,anak-anak telah menghubungi Pertubuhan Palang Merah Indonesia untuk pekej  perjalanan,penginapan dan makanan. PMI ambil di air port dan hantar kembali di airport. Perkhidmatan termasuk penginapan,kenderaan dengan sopir dan pemandu pelancong,makanan pagi,tengahar dan malam.

Alhamdulillah,saya berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Pemandu pelancungnya Pak Adi juga seorang yang berilmu,berakhlak dan tinggi kemahiran perhubungan awamnya. Bila beliau berada bersama dalam jemaah solat kami maka kami dapat rasakan ukhuwahnya.

Banyak cerita yang kami dapat kutip  disini tertama tentang kejadian tsunami dan kedannya,tentang peranan Acheh sebagai serambi mekah dan mujahid yang terlibat semasa mempertahankan akidah bumi Acheh dari perkosaan Eropah. Walaubagaimana pun sudah banyak ulasan ilmiah yang pernah orang tulis mengenainya yang dengan mudah kita dapati dengan mengoogle sahaja.

Namun ada satu yang saya nak kongsikan iaitu pengalaman semasa lawatan ke rumah anak yatim dan asnaf. Saya minya Pak Adi pilihkan untuk kami sebuah pusat penjagaan anak Yatim.Pak Adi telah memilih sebuah pusat yang popular bagi PMI pilih untuk pekejnya. Mereka memilik pusat yang kurang mendapat perhatian dari segi dana. Sebelum itu kami telah terserempak dgn pengunjung dari malaysia yang baru berkunjung ke pusat ini. Gambaran yang ditunjukan adalah tempat yang tersangat dhaif dan terbiar.

Sebelum ini di tanah air kami telah pernah melibatkan diri dengan beberapa rumah anak yatim dn asnaf. Paling rapat setakat ini adalah dengan Rumah Pengasih Warga Perihatin( RPWP) atau biasa saya panggil rumah Prihatin sahaja. Jadi dapatlah saya membuat perbandingan. Bila saya nampak sendiri tempat tersebut,saya tidak bersetuju dengan gambaran dhoif dari segi fizikal. Kerana bangunan yang mereka duduki itu adalah terdiri dari sumbangan negara-negara luar,contohnya dewan tempat tetamu berkumpul adalah sumbangan dari Singapur. Bangunan 2 tingkat,bahgian atas tempat solat,bawah tempat berkumpul untuk makan dan merai tetamu.bersambung dengan dom anak anak lelaki.  Untuk anak perempuan bangunan 2 tingkat sumbangat Turki. Dibelakang pula bangunan sumbangan dari Malaysia yang paling sempurna rasanya dijadikan tempat tinggal ibubapa pengasuh dan tenaga pengajar. Sedangkan di rumah Perihatin di sini tidak ada pihak atau mana-mana negara pun yang menyumbangkan bangunan,semata-mata waqaf harta dan tenaga dan fikiran seluruh anggota dalam keluarga Rumah Perihatin tersebut,

Semasa sessi takruf wakil mereka yang namanya dimulakan dengan Tengku,disana adalah gelaran bagi seorang ulamak. Dalam penerangan itu diceritakan keadaan kehidupan seharian dan tentang masa hadapan mereka. Mereka bukan anak yatim mangsa stunami kerana mangsa stunami yang paling bayi pun telah berusia 14 tahun,dan juga bukan mangsa peperangan kerana selepas peristiwa tsunami tidak ada lagi peperangan,mereka adalah dari keluarga miskin yang diserahkan oleh ibubapa kerana tidak mampu membiayai persekolahan. Aktiviti mereka adalah ditekankan pada ngaji,penuhkan dada dengan Islam,nanti masa depan terpulang pada mereka memilih kerjaya.'Tidak di dikehendaki bekerja,semata mata ngaji. masak dan urus dapur,cuci pinggan ialah anak2 perempuan. Anak kelaki hanya mengaji semata-mata.  Kami sebut juga tidakakh diadakan aktiviti yang mengajar mereka bermendiri bila keluar nanti. Jawapannya tidak,mereka tidak mahu jiwa anak-anak ini dicemari dengan dunia, semata-mata mereka perlu belajar ngaji, masa depan Allah dah tentukan,mereka yakin. Pada anak-anak nisa' pula saya tanya pada ibunya tidakkah ada usaha membuat kuih untuk jualan,jawapannya tidak bisa kerana belum siap masak anak-anak lain sudah mahu merasa. Jadi dana untuk pembiayaan kehidupan mereka bergantung dari kepedulian masyarakat. Seramai 250 anak,dijaga oleh seorang suami isteri yang tinggal disitu,yang lainnya tinggal diluar. Saya dapat rasakan melalui raut wajahnya betapa stressnya ibu tersebut,bila saya tanyakan bagaimana bila anak-anak yang melanggar peraturan atau berbuat kelakuan diluar batas,katanya adakalanya hilang sabar juga,saya cubit juga juga sekali sekala. Kalau saya bukan sahaja cubit,agaknya tangan naik juga kepipi. Dalam ucapan pihak mereka sempat juga mereka memberi amaran  pihak luar boleh membuat sumbangan tidak kira sebarang bentuk tetapi dilarang sama sekali mencampuri sistem pengurusan mereka.

Saya telah mendapat pendedahan bagaimana co founder co founder Rumah Pengasih Warga Perihatin mentarbiah anak-anak disana,terasa amatlah terkilannya. Dalam angan-angan elok kita jemput ibu-ibu dan bapa-bapa dari pusat itu sesekali datang ke RPWP untuk bertukar tukar ilmu dan pengalaman. .Mereka perlu upgredkan kaedah pengurusan pusat tersebut mengikut arus semasa.

Apa-apapun sebelum meninggalkan mereka kami memberi pengharapan Semoga Allah melimpahi rahmat ke atas mereka dan diberi kemudahan dalam menguruskan anak-anak. Semoga anak-anak ini memberi syafaat untuk ibu-ibu dan bapa-apa di Yaumilakhir.
mendengar perkongsian pengalaman dari imam masjid Rahmatullah antara magsa tsunami yang terselamat



kamar CHUT NYAK DHIEN tokoh pahlawan wanita Acheh menentang Belanda
Replika ketinggian ombak tsunami di Kuburan Masyal yang menempatkan ribuan mangsa tsunami

ahli rombogan paling muda


Isnin, 2 Mei 2016

REZEKI BERSILATURRAHIM



Saya meyakini yang rezeki itu bukan semata mata dari duit. Saya juga bukan seorang yang begitu perihatin dengan tarikh hari lahir sendiri, Adakalanya setelah mendapat ucapan baru saya menyedari hari ini adalah tarikh saya dilahirkan seperti yang tercatat dalm surat kelahiran saya.
Tahun ini tarikh lahir saya jatuh pada hari Jumaat,pada ketika ini di MAEPS sedang dilancarkan pembukaan PBKL. Saya sudah terjanji dgn anak anak akan membawa mereka seperti yang sudah sudah. Kelainan tahun ini ialah lokasi telah di tukar dari PWTC ke MAEPS.

Sudah dikatakan yang dinamakan rezeki,Juga saya anggap sebagai hadiah Allah sempena tarikh kelahiran saya. Kedatangan saya ke PBKL kali ini seperti menjadi sejarah kerana saya akan bertemu dengan sahabat maya saya yang saya kenali melalui maya sejak 2009 lagi. Dari blog,kemudian facebook dan terkini melalui applikasi whats app. Kalau semasa blog saya hanya mengenali melalui tulisan-tulisannya bila era facebook terus dapat mengenali wajahnya. Dari seawal beliau mempunyai 2 orang anak sehinggalah sekarang 5 orang. Saya sentiasa mengikuti perkembangannya. Kini setelah era WA saya mengenali juga suaranya.

Saya bukan seorang mudah berkawan,suami saya selalu menegur betapa banyaknya hikmah kita ramai kawan. Kawan yang saya terima dalam facebook pun terhad,hanya orang yang betul-betul saya kenal dan saya pastikan mendatangkan kebaikan kepada diri saya sahaja yang saya accept. Ada juga beberapa orang yang saya add tetapi tidak ramai. Namun dalam terhad tersebut saya pastikan mereka itu betul-betul adalah sahabat wangi yang akan mewangikan saya.

Blog beliau   http://kaktiny.blogspot.my/ . Saya dapat gambarkan orangnya memang suka bercakap dan ketawa. Pertama kali saya nampak wajahnya secara life dalam video yang dibuat naik semasa rancangan tv RTM 1 Sarapan buku.

Hari itu sebagai yang dirancang saya bersama suami,3 orang anak perempuan dan seorang kawan kepada anak bergerak seawal pagi menuju ke MAEPS,rancangan asal berjanji juga dengan anak menantu yang sedang belajar di UKM untuk turut ama kerana hai itu adalah harijadinya,tetapi dibatalkan disaat akhir kerana beliau perlu menghadhiri program lain yang lebih penting. Kemi sampai dahulu dan kami menunggunya di ruang gerai makan di hall tempat letak kereta.

Sebaik sahaja beliau sampai bersama suaminya Rizal,apa lagi kami berpelukan,dan terus berbual seperti telah lama saling mengenal,tentunya berpunca dari beliau juga yang sememangnya mudah bermesra berbanding saya.

Hari itu sebenarnya beliau akan menjalankan slot Bedah buku pertamanya berjudul Kerana Aku Hambanya. Sebelum melalui meseg sering dia bemberitahu saya yang saya juga menyumbang kepada inspirasinya dalam penulisan buku tersebut. Dalam sudut hati kecil saya sebenarnya saya tidaklah percaya dan menganggap itu adalah cara beliau hendak menyenangkan hati saya. Jadi sebaik sahaja saya menerima hadiah buku darinya saya mencari disudut mana yang dikatakan antara sumber inspirasinya itu. rupanya di bahagian kulit belakang belakang tersebut. Untuk isi dalamnya pastilah saya belum menghadhamnya kerana saya baru menerimanya. Alhamdulillah sekurang-kurang Allah telah menunjukkan kepada saya betapa perlunya kita selalu memberi kata-kata yang baik kepada sahabat dan orang sekeliling kita.

slot bedah buku sedang berjalan
kulit belakang buku

Waktu saya menulis ini saya telah membacanya secara lalu semasa dalam perjalanan balik. Merembes air mata saya. Subhanallah.

Insyaallah,silaturrahim kami akan berterusan saya akan terus berdoa. Semoga Allah juga laksanakan hajat saya untuk bertemu mata dengan semua sahabat maya yang saya linkkan dalam senarai blog list diruangan wadah ilmu blog ini. Insyaallah.


Doa uantuk sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...
 Ya Allah..
panjangkanlah umur sahabatku,kurniakanlah kesihatan yang baik
padanya, terangi hatinya dengan nur pancaran iman..

 Ya Allah..
tetapkanlah hatinya, perluaskanlah rezekinya, dekatkanlah
hatinya kepada kebaikan, jauhkanlah hatinya pada kejahatan, tunaikanlah
hajatnya baik hajat dalam agama,dunia dan akhirat...

Ya Muhaimin..
jika dia jatuh hati, izinkanlah dia menyentuh hati seseorang
yang hatinya tertaut padaMu agar tidak terjatuh dia dalam jurang cinta
nafsu.

Ya Rabbana..
jagalah hatinya agar tidak berpaling daripada melabuhkan
hatinya pada hatiMu.. Ya Rabbul Izzati..jika dia rindu, rindukanlah dia
pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu..

Ya Muhaimin..Jangan biarkan sahabatku tertatih dan terjatuh dalam
perjalanan panjang menyeru manusia kejalanMu..

Ya Allah Yang Tercinta..jika kau halalkan aku merindui sahabatku,
janganlah aku melampaui batas sehingga melupakan daku pada cinta
hakiki,rindu abadi dan kasih sejati hanya untukMu

Ya Allah..kurniakanlah sahabatku kesenangan, ketenangan, kebahagiaan dan
kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat kelak..


Ya Rabbul Izzati..bahagiakanlah hatinya sebagaimana Engkau bahagiakan
hati hambaMu yang lain... AMIN

Ahad, 1 Mei 2016

AMBIL DULU BAYAR KEMUDIAN

Biasanya di kampung-kampung Melayu akan ada sekurang-kurangnya sebuah rumah kaum tionghua. Biasanya mereka menjadi peraih pada hasil ekonomi orang kampung atau berkedai runcit. Kedai runcitnya berbeza dengan orang Melayu,koleksi barang jualannya lebih banyak dan bijak melengkapi keperluan penduduk setempat.  Tapak penempatannya biasanya menyewa di tanah orang tempatan dengan kadar sewa mengikut nilai orang tua dahulu tidak berubah. Sehingga 3 jenerasi sewa tanahnya hanya RM30 setahun. namun bila anak-anak jenerasi ke 3 telah menyedari mereka telah membuat pembaharuan perjanjian sewa tapak,sebab itu ramai yang keluar dari perkampungan Melayu walaupun masih ramai yang terus menetap,ada yang membeli tanah-tanah tersebut.

Penduduk tempatan biasanya tidak memusuhi mereka malah ada yang menjadikan mereka sebagai payung iaitu tempat rujukan bila memerlukan kewangan dengan segera. Nama mereka pun di masyarakatkan contohnya Ah Seng jadi Aseng. Kim Po jadi Kimpu.

Saya nak ceritakan kesah sebuah kedai kaum tionghua yang terdapat di kawasan saya. Namanya mungkin Ah Lik tapi orang kampung panggi dia Alek. Pada mulanya kedainya beratap nipah,berdinding papan tapi 2 tingkat sebab tingkat atas digunakan untuk tidur.  Kedai tersebut memang menjadi payung kepada penduduk setempat,tambahan lagi lokasinya di simpang 4. Pendek kata keperluan asas penduduk semua ada disediakan waimma untuk mengadakan kenduri walimah pun bekalan disediakan. Perkara yang agak mengkagumkan cara Alek bekerja memang tiptop. Kita akan keliru siapa taukeh siapa pekerja. Itu lah antara faktor kekuatan kedainya..

Satu masa pembesaran jalan dijalankan,Sebahagian tanah yang Alek sewa terlibat jadi Alek kena pindah,terus sahaja dia mebina kedai batu 2 tngkat yang berkali ganda kukuh dengan kedai yang dahulu ditapak yang dibelinya. Apa lagi tambah meriahlah kedai tersebut. Tiba-tiba diberitakan kedai Alek akan tutup. Ramai juga yang terkesan. Sebab-sebab nya ada yang mengatakan bahawa Alek ni suka berjudi,memang itu amalan kaum mereka. Kedainya terpaksa di kosongkan kerana tidak dapat menutup hutang yang melebihi pendapatan. Beliau pun tinggal menumpang dirumah kakaknya yang berniaga ikan.

Baru-baru ini saya mendapat tahu bahwa penutupan kedainya bukan disebabkan amalan berjudinya sahaja tapi tetapi ada faktur lain iaitu menaggung hutang dari pelanggan yang berhutang. Saya seperti tidak percaya tapi begitulah menurut isterinya. Yang rasa memalukan saya pada bangsa sendiri ialah bangsa saya mengambil dahulu barang barang untuk mengadakan kenduri. Hanya bayar pendahuluan selebihnya selepas kenduri akan dilangsaikan,namun selepas kenduri tenggelam tanpa timbul-tmbul lagi. bila era secara katering pula pihak ketering mengambil dahulu barang barang dan berjanji akan melangsaikan selepas kenduri, pun selepas kenduri bayangan wajahnya pun tenggelam. Walau bangsa mereka juga banyak menipu kita tetapi mereka tidak ada panduan hidup,sedangkan kita ada alQuran sebagai panduan . Dalam surah al Baqarah sepanjang satu muka surat dalam satu ayat yang memandu kita tentang perkara hutan.

Malu sangat saya pad bangsa saya,rupanya kenduri besar-besaran,khemah berlangsir bagai yang menjemput kita untuk hadhir adalah hasil dari hutang,dengan harapan wang sumbangan para jemputanlah yang diharapkan untuk menutup lubang hutang tersebut,namun bila duit dah ditangan nafsu tidak tahan memandang lalu dilupakanlah hutang-hutang tersebut.

Antara yang melakukan begitu ialah pihak ketere, walaubagaimana pun pernah juga beberapa katere yang bercerita pada saya,mereka pun selalu terkena dengan sikap orang yang buat kenduri besar-besaran,hanya wang pendahuluan yang di jelaskan,selebihnya kenalah tanggung,sedangkan mereka perlu membayar gaji pekerja dan sewa barang keperluan perniagaan. Sudah beberapa kali dituntut masih berdolak dalik, Silap silap orang yang menuntut hutang menjadi mangsa. Ada setengahnya yang sehingga pengantin dah beranak pinak,hutang kenduri masih belum berbayar.


Al-Baqarah[2]:282
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu melakukan utang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Janganlah penulis menolak untuk menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkan kepadanya, maka hendaklah dia menuliskan. Dan hendaklah orang yang berutang itu mendiktekan, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, Tuhannya, dan janganlah dia mengurangi sedikit pun daripadanya. Jika yang berutang itu orang yang kurang akalnya atau lemah (keadaannya), atau tidak mampu mendiktekan sendiri, maka hendaklah walinya mendiktekannya dengan benar. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi laki-laki di antara kamu. Jika tidak ada (saksi) dua orang laki-laki, maka (boleh) seorang laki-laki dan dua orang perempuan di antara orang-orang yang kamu sukai dari para saksi (yang ada), agar jika yang seorang lupa, maka yang seorang lagi mengingatkannya. Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apa-bila dipanggil. Dan janganlah kamu bosan menuliskannya, untuk batas waktunya baik (utang itu) kecil maupun besar. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah, lebih dapat menguatkan kesaksian, dan lebih mendekatkan kamu kepada ketidakraguan, kecuali jika hal itu merupakan perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu jika kamu tidak menuliskannya. Dan ambillah saksi apabila kamu berjual beli, dan janganlah penulis dipersulit dan begitu juga saksi. Jika kamu lakukan (yang demikian), maka sungguh, hal itu suatu kefasikan pada kamu. Dan bertakwalah kepada Allah, Allah memberikan pengajaran kepadamu, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. 


Catatan Popular