DENGAN NAMA ALLAH

DENGAN NAMA ALLAH

Ingatan untuk ku dan kalian



وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.

Yang bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3).


Pengikut

Ahad, 31 Disember 2017

PELAJARAN 26.0 Dharabā (Siri Belajar Bahasa Arab Selangkah-Selangkah...)

No automatic alt text available.


26.1 Di dalam bab-bab awal dahulu kita telah belajar bahawa (ضَرَبَ) maknanya ialah "seorang lelaki telah memukul". Bagaimana pula jika kita mahu sebut/tulis "dua orang lelaki telah memukul?"

Tambah "alif" dihujungnya. 

"Seorang lelaki telah memukul" = (ضَرَبَ)
"Dua orang lelaki telah memukul = (ضَرَبَا)

"Seorang lelaki telah menulis" = (كَتَبَ)
"Dua orang lelaki telah menulis" = (كَتَبَا)

"Seorang lelaki telah menunggang" = (رَكِبَ)
"Dua orang lelaki telah menunggang" = (رَكِبَا)

Bagi muannats pun begitu juga, cumanya huruf 'ta' dihujungnya itu difathahkan kerana tambahan 'alif' tersebut.

"Seorang perempuan telah memukul" = (ضَرَبَتْ)
"Dua orang perempuan telah memukul" = (ضَرَبَتَا)

"Seorang perempuan telah menulis" = (كَتَبَتْ)
"Dua orang perempuan telah menulis" = (كَتَبَتَا)

"Alif" yang ditambah dihujung fi'il itu menunjukkan "Mutsanna".

26.2 Bagaimana pula untuk "kamu dua orang"?

Huruf terakhir disakinkan (dimatikan) kemudian tambahkan (ـتُما) dihujungnya.

"Kamu (2L atau 2P) telah memukul" = (ضَرَبْتُمَا)

"Kamu (2L atau 2p) telah menulis" = (كَتَبْتُمَا)

Bagi Muzakkar atau Muannats adalah sama. Mudahkan?

26.3 Bagaimana mengatakan "Dua orang pelajar itu telah pergi"?

Jika menggunakan "Jumlah Fi'liyyah" = (ذَهَبَ الطَّالِبَانِ)

Jika menggunakan "Jumlah Ismiyyah" = (الطَّالِبَانِ ذَهَبَا)

Perhatikan - Jika fi'il datang sebelum fa'il (dalam jumlah fi'liyyah), fi'il untuk seorang digunakan walaupun pelakunya lebih daripada seorang.

Tetapi jika pelaku (fa'il) datang sebelum fi'il (dalam jumlah ismiyyah) maka fi'il yang sesuai bilangannya mesti digunakan.

Fi'il hendaklah disesuaikan jantinanya dengan Fa'il :

"Dua orang pelajar perempuan itu telah pergi"

"Jumlah Fi'liyyah" = (ذَهَبَتِ الطَّالِبَتَانِ)

"Jumlah Ismiyyah" = (الطَّالِبَتَانِ ذَهَبَتَا)

Latihan :

26.0(a) Ayat-ayat berikut mengandungi beberapa kesalahan. Perbetukan dan lengkapkan baris. Kemudian terjemahkan :

1. شرب البنتان عصير

2. الطالبتان الجديدان نجح في الامتحان

3. هما وضع كتاباهما على الرف

4. أنتما ذهبت ألى المدرسة بدرجتانكما

5. رجعت الرجلين من المسجد إلى بيتهما

26.0(b) Terjemahkan ke Bahasa Arab :

1. Dua orang pelajar itu telah pergi ke sekolah mereka.

2. Adakah kamu berdua telah mengambil beg saya?

3. Dua orang jururawat itu telang pulang dari hospital mereka.

4. Mereka berdua telah makan di bawah dua batang pokok itu.

5. Zaid dan Uthman telah menulis surat kepada dua sahabat mereka.

No automatic alt text available.
#NotaBahasaArab

Rabu, 6 Disember 2017

PELAJARAN 25.0 Dhomir Untuk Mutsanna (Siri Belajar Bahasa Arab Selangkah-Selangkah...)


25.1 Apakah Dhomir Muttasil untuk Mutsanna?

Hanya 3 iaitu (ــهُمَا     ،     ــكُما    ،    ــنَا)
Tidaklah banyak pun untuk dihafal, tiga sahaja.... :-D

Ketiga-tiga Dhomir Muttasil untuk Mutsanna adalah tanpa khusus jantina (yakni boleh diguna untuk dua-dua samada Muzakkar ataupun Muannats).

Dhomir Muttasil ialah Gantinama bersambung pada hujung Huruf, Isim atau Fi'il (Lihat 11.1).

1. "...huma" (ـهُمَا) maknanya "...mereka berdua".

Contoh : 
"Bagi/Untuk mereka berdua (2L/2P)" = (لَـهُمَا)
("huma " ــهُمَا sebagai Isim Majrur pada Jarr wa Majrur)

"Rumah mereka berdua (2L/2P)" = (بَيْتُهُمَا)
("huma " ــهُمَا sebagai Mudhof Ilaih pada Idhofah)

"Saya telah melihat mereka berdua (2L/2P)" = (رَأَيْتُهُمَا)
("huma " ــهُمَا sebagai Maf'ul Bih pada Jumlah Fi'liyah)

2. "...kuma" (ــكُما) maknanya "...kamu berdua".

Contoh :
"Bagi/Untuk kamu berdua (2L/2P)" = (لَكُمَا)
("kuma" ــكُما sebagai Isim Majrur pada Jarr wa Majrur)

"Rumah kamu berdua (2L/2P)" = (بَيْتُكُما)
("kuma" ــكُما sebagai Mudhof Ilaih pada Idhofah)

"Saya telah melihat kamu berdua (2L/2P)" = (رَأَيْتُكُمَا)
("kuma" ــكُما sebagai Maf'ul Bih pada Jumlah Fi'liyah)

3. "...na" (ــنَا) maknanya "...kami" (sebenarnya untuk dua orang atau lebih - ramai)

Contoh : 
"Bagi/Untuk kami" = (لَنَا)
("na" ــنَا sebagai  Isim Majrur pada Jarr wa Majrur)

"Rumah kami" = (بَيْتُنَا)
("na" ــنَا sebagai Mudhof Ilaih pada Idhofah)

"Kamu telah melihat kami (2L/2P)" = (رَأَيْتَنَا)
("na" ــنَا sebagai Maf'ul Bih pada Jumlah Fi'liyah)

25.2 Apakah pula Dhomir Munfasil untuk Mutsanna?

Dhomir Munfasil ialah "Gantinama Terpisah" yang kebiasaannya letaknya di permulaan ayat sebagai Mubtadak (lihat 22.3).

Terdapat 3 Dhomir Munfasil untuk Mutsanna iaitu (هُمَا  ،  أَنْتُمَا   ،  نَحْنُ).
Juga tidak banyak, hanya tiga sahaja untuk dihafal mantap-mantap :-D

1. "huma" (هُمَا) maknanya "Mereka berdua".

Contoh : 
"Mereka berdua (adalah) muslim" = (هُمَا مُسْلِمَانِ).

"Mereka berdua (adalah) muslimah" = (هُمَا مُسْلِمَتَانِ).

2. "antuma" (أَنْتُمَا) maknanya "Kamu berdua".

Contoh :
"Kamu berdua (adalah) muslim" = (أَنْتُمَا مُسْلِمَانِ).

"Kamu berdua (adalah) muslimah" = (أَنْتُمَا مُسْلِمَتَانِ).

3. "nahnu" (نَحْنُ) maknanya "Kami" (sebenarnya untuk dua orang atau lebih - ramai).

Contoh:
"Kami (adalah) muslim" = (نَحْنُ مُسْلِمَانِ) atau (نَحْنُ مُسْلِمُوْنَ).

"Kami (adalah) muslimah" = (نَحْنُ مُسْلِمَتَانِ) atau (نَحْنُ مُسْلِمَاتٌ).

Latihan:

25.0(a) Bariskan dengan lengkap. Kemudian terjemahkan :

1. بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما بخير

2. زار  المعلم    أحمد و محمد    في   بيتهما

3. أنتما    لكما    رأيكما  و أنا   لي    رأيي

4. أمام بيتي  جنينتان  فيهما    بركتان     واسعتان

5. أين  الطالبان  الجديدان     أسمعت    عنهما

25.0(b) Terjemahkan ke Bahasa Arab :

1. Tuhanku ampunilah dosaku dan kedua orang tuaku.

2. Saya telah menziarah dua ibubapa saya di rumah mereka.

3. Semoga Allah memberkati ke atas mereka berdua. 

4. Mereka berdua, bagi mereka pendapat mereka dan bagi kami pendapat kami.

5. Di hadapan rumah mereka berdua (ada) sebuah kebun di dalamnya (ada) dua pohon besar.

No automatic alt text available.

No automatic alt text available.

No automatic alt text available.
#NotaBahasaArab

PELAJARAN 24.0 Mutsanna (Siri Belajar Bahasa Arab Selangkah-Selangkah...)


24.1 Apakah tanda Rafa' bagi Isim Mutsanna?

Tanda Rafa' bagi Isim Mutsanna ialah huruf alif (ا).

Huruf alif itu ditambah bersama huruf nun (ن) yakni (انِ) di hujung perkataan asal untuk menjadikan ia Isim Mutsanna.

Ini berbeza dengan tanda Rafa' bagi Isim Mufrad iaitu dhommah.

Contoh :

Isim Mufrad Marfu' (كِتَابٌ) <== Tanda Rafa' adalah dhommah.

Isim Mutsanna Marfu' (كِتَابَانِ) <== Tanda Rafa'nya adalah Alif (ا). (Huruf sebelum Alif mesti berharakat fathah dan Nun di hujung itu pula sentiasa berharakat kasrah).

24.2 Apakah tanda Nasab bagi Isim Mufrad Mansub dan Isim Mutsanna Mansub?

Isim Mufrad Mansub (كِتَابًا) <== Tanda Nasabnya adalah fathah.

Isim Mutsanna Mansub (كِتَابَيْنِ) <== Tanda Nasab adalah Ya (ي). (Huruf sebelum Ya mesti berharakat fathah dan Nun di hujung itu pula sentiasa berharakat kasrah).

24.3 Apakah tanda Jarr bagi Isim Mufrad Majrur dan Isim Mutsanna majrur?

Isim Mufrad Majrur (كِتَابٍ) <== Tanda Jarrnya adalah kasrah.

Isim Mutsanna Majrur (كِتَابَيْنِ) <== Tanda jarr adalah Ya (ي). (Huruf sebelum Ya mesti berharakat fathah dan Nun di hujung itu pula sentiasa berharakat kasrah).

Perhatikan bahawa tanda Nasab dan Jarr bagi Isim Mutsanna adalah serupa, yakni Ya (ي).

PERHATIAN : Sekiranya anda membaca keterangan-keterangan di atas tetapi tidak berapa pasti apa itu Rafa', Nasab, Jarr, Marfu', Mansub, Majrur sila ulangi Bab 17, fahami betul-betul dan buat semua latihannya, kemudian bab 18 demikian juga, sehinggalah anda sampai ke bab ini.

24.4 Sekiranya Isim Mutsanna menjadi Mausuf, bagaimana keadaan Sifahnya?

Sifah mestilah mengikuti Mausuf dari segi Bilangan, Jantina,  I'rab serta Perinciannya (Nakirah/Makrifah) - Lihat 20.3.

Maka jika Mausuf Mutsanna, Sifahnya mestilah Mutsanna juga.

Contoh : (كِتَابَانِ   جَدِيْدَانِ / كِتَابَيْنِ  جَدِيْدَيْنِ)

24.5 Bagaimanakah Isim Mutsanna dalam Idhofah?

Mudhof dan Mudhof Ilaih tidak semestinya sama dari segi bilangan. Kedua-duanya adalah bebas dari segi bilangan.

Namun sekiranya Isim Mutsanna menjadi Mudhof, maka 'Nun' di hujungnya itu mesti digugurkan!

Contoh1 : (كِتَابَا  الطَّالِبِ) di mana mudhof asalnya ialah (كِتَابَانِ). Maknanya "Dua buah buku pelajar itu".

Contoh2 : (أَخَذْتَ  كِتَابَيْ الطَّالِبِ) di mana mudhof asalnya ialah (كِتَابَيْنِ). Maknanya "Kamu telah mengambil dua buah buku pelajar itu".

Contoh 3 : (عَلَى    كِتَابَيْ   الطَّالِبِ    قَلَمٌ) di mana mudhof asalnya ialah (كِتَابَيْنِ). Maknanya "Di atas dua buah buku pelajar itu (ada) sebatang pen".

Latihan :

24.0(a) Tukarkan semua Mudhof di dalam ayat-ayat berikut sebagai Mutsanna. Lengkapkan baris dan terjemahkan :

1. يد البنت نظيفة

2. رايتُ   بيت   رجل

3. جدار الغرفة  أبيض

4. في يد  إِسحاق    كتابه

5. نَظرتُ  الى   منارة  المسجد   الطويلة

24.0(b)  Terjemahkan ke Bahasa Arab :

1.  Ahmad telah membawa dua buah beg yang baru itu.

2. Saya telah melihat dua buah begnya yang baru itu.

3.  Saya telah membaiki dua buah tingkap rumah itu.

4.  Dia telah menulis kepada dua orang anak raja itu.

5. Apa  (ada)  di dalam dua tangan kamu?

#NotaBahasaArab

Catatan Popular