DENGAN NAMA ALLAH

DENGAN NAMA ALLAH

Halaman

Ingatan untuk ku dan kalian



وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.

Yang bermaksud:

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3).


Mari kita aminkan

Pengikut

Ahad, 15 Julai 2012

Kasut


Dulu masa sekolah rendah,jarak sekolah sangat jauh.Bila musim hujan jalan lecak,tidak boleh memakai kasut,jadi kasut simpan dalam bekas dan berkaki ayam. Nanti bila hampir sekolah cari parit untuk basuh kaki. Di sekolah baru pakai kasut,Jadi kasut bersih. Tidak mengapalah sepanjang  jalan berkaki ayam,kadang luka terpijak cengkerang siput atau tersangkut batang semalu atau tersandung tunggul kayu,asalkan disekolah kasutnya putih dan bersih.Tidak ada perasaan malu sebab semua orang begitu kecuali kawan-kawan yang tinggal berhampiran sekolah.

Sekarang bila sudah menjadi cikgu,setiap perhimpunan hari Isnin akan memeriksa murid-murid dari segi rambut,kuku,tanda nama,baju dan tudung ,dan yang paling penting kasut. Rambut dan kuku pendek,baju dan  tudung bersih dan bergosok,tanda nama lengkap,kasut bersih. Bagi lokasi sekolah kami sudah tidak ada alasan jalan lecak,tidak ada streka dan sebagainya kerana kesemua mereka sudah tidak menempuh jalan berselut dan tidak ada satu rumah pun yang tiada bekalan elektrik. Bila ditanya tidak ada seorang pun dirumah yang tiada mesin pencuci baju.

Setiap minggu diberi amaran,namun setiap Isnin mesti ada yang tersangkut.

Lihat sahajalah apa yang diceritakan di dalam imej dibawah.






Hari Isnin sudah begini,sama seperti hari Jumaat.

Buruk tidak mengapa asalkan bersih


Pada hari itu tiba-tiba mata tertangkap pada jejaka tampan ini. Ketua kelas tahun 1.


“Alif,siapa basuh kasut kamu?”Tanya Cikgu.

Sebenarnya jangkaan yang kami buat tentu dia menjawab“Kakak,atau nenek atau abang dan mungkin Abah saya” kenapa bukan emak saya, Sudah pasti tidak, kerana emaknya telah pulang kerohmatullah 2 bulan yang lalu,selepas beberapa bulan berjuang dengan kenser payudara. Ya,Alif sudah tidak punya emak seusia 7 tahun.Tetapi dia masih punya seorang abang,dua orang kakak,abah dan seorang nenek. Walaupun begitu dia menjawab;

“Saya sendiri”

Tersangatlah menyentuh kalbu,disamping kawan-kawan yang masih lengkap ayah ibu namun berkasut kelabu,berbanding Alif yang tidak beribu berketerampilan seperti ini,tentu sekali dia punya disiplin kendiri.Selama ibunya berjuang dengan sel kenser dia telah bermandiri.

Alif di panggil untk berdiri di hadapan perhimpunan.
“Baik ,semua orang pandang hadapan.Pandang Alif. Seorang murid tahun 1,kita tanya dia siapa basuh kasut Alif”
“Saya basuh sendiri”
“Dengar tak?Alif sudah tidak ada emak tapi pakaian dia kemas dan bersih,tantu gembira emak dia di dalam kubur kerana anaknya seorang anak yang baik.Kamu semua sayang tak dengan emak kamu?”
“Sayaaang”
“Kalau sayang jadilah anak yang baik,yang soleh,berdikari,ikut macam Alif basuh kasut sendiri,kita patut mencontohi Alif. Boleh?”

Ada yang menjawab “Boleeeh” ada juga yang menjawab “Insyaallaah"

Tengok sahaja Isnin esok.
                

6 ulasan:

  1. Salam Hasimah. Cerita kasut masa sekolah dulu buat saya sebak dihati. Saya dulu pun pergi sekolah kaki ayam sejauh sebatu kalau musim hujan. Takut kasut kotor. kemudian basuh kaki dipaip kedai Cina. Tapi lepas tu jalan kasut kotor juga. Tapi sikit sebab tapak kaki kasut dah haus dan bocor. Jadi pergi sekolah memang tak nampak smart. Tapi waktu itu tak ada pereksa kasut macam sekolah Simah. kalau ada pasti kena marah selalu. Bukan kasut saja tak smart. Uniform pun tak smart. Pakai kakak punya yang diajust jadi kecil. Kalau musim hujan dan baju kasut basah kita letak ditepi dapur kayu waktu malam biar kering. Jadi dia bau asap api kayu. Hasimah pasti tak terbayang macam itu.
    Kemudian cerita tulisan pula. Entah kenapa cikgu dulu semua nak kemas tak kena tempat. Saya tidak ada masaalah belajar. Cuma buku tak bersampul. Buat garisan di buku tak lurus sebab tak ada pembaris. Guru selalu marah dan titik jari-jari saya dengan pembaris besar sebab buku tak nampak bersih dan kerja sekolah tak nampak rapi. Bukan salah jawapan atau tak buat kerja. Tapi selalu cikgu titik tangan sebab tak lurus buat garisan. Saya guna belakang buku. Mana nak lurus. Saya nak beli pembaris atau sampul buku emak saya tak mampu. Saya pergi sekolah pun bukan bawa bekal duit. Bekal makanan pun sesekali sahaja.
    Oleh kerana selalu kena marah saya mintak emak buat pembaris guna batang buluh. Masa ia segar agak luruslah. Tetapi bila kering ia jadi masaalah. Simah pasti tak dapat bayangkan macam mana rupa pembaris dari batang buluh.
    Tak apalah itu cerita lama. Cuma yang rasa sedih sampai sekarang ialah saya curi, ia curi pembaris kawan sebab tak tahan kena titik tangan dan jari-jari. Ia timbulkan rasa malu amat sangat dikalangan kawan. Kadang-kadang nangis juga. Tapi ketika itu saya ingat saya curi dari budak yang pada pandangan saya dia anak orang kaya. saya masih ingat namanya. Mudah Ibrahim. Tentu ia mampu beli lagi. Saya tak cerita pada emak. Takut. Sejak saya tahu berfikir panjang saya sentiasa menyesali perbuatan itu. Tapi dah tak boleh pulangkan. Hanya mohon ampun pada Allah saja dan semoga Allah kurnia rahmat pada kawan saya itu.
    Apa pendapat Simah kes macam ini?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Puan.

      Masyaallah,Allahumma,Dialah yang Maha Melihat,Maha Adil,Maha Menghukum,Maha Penyabar dan lain-lain sebanyak 99Asmaul Husna.

      Dari cerita kasut timbul lagi cerita yang semakin menyebakkan.Puan mangsa kemiskinan sedangkan anak-anak murid saya mangsa sikap kemalasan.Hari Sabtu dan Ahad dihabiskan dengan merayau-rayau atau dihadapan TV.

      Ya,zaman itu,itulah cara cikgu itu mendidik kesempurnaan,diluar sedarnya kesakitan yang dicipta bukan sahaja dirasai dikulit tapi juga dihati kesannya mendorong kepada tindakan yang negetif.Saya selalu takut kalau berlaku pada diri saya.Sebab itu bila berhadapan dengan murid-murid yang menjengkelkan saya doakan dia agar suatu ketika nanti dia akan menjadi insan soleh.

      Saya dapat bayangkan kepayahan yang Puan hadapi,ialah sezaman dengan emak saya,dan saya mewarisi jenerasinya. Sayapun pernah bapak buatkan pembaris buluh,tapi dari buruh kering,kemudian digilap dengan daun rempelas,jadi ianya licin dan berkilat.

      Dimana agaknya Mudah Ibrahim tu ya?tapi ketika itu puan belum baligh lagi,tentunya belum ditulis dalam buku amalan.tapi kalau Puan doakan dia lagilah baik;

      “Apabila seseorang mendoakan saudaranya tanpa sepengetahuannya, maka Malaikat akan berkata; amin, dan semoga engkau mendapatkan hal yang sama.” (HR. Muslim dan Abu Dawud)

      Semoga Cikgu yang menitik jari-jari dengan pembaris itupun mendapat keampunan.

      Terimakasih sudi membaca

      Padam
  2. Salam Simah. Bukan nak sedapkan hati, tapi saya ingat waktu itu saya darjah 3 Sekolah Melayu. Saya datang period masa form 1 di sekolah Inggeris. Semoga Allah mengampuni saya dan Mudah Ibrahim dan che gu. Semoga Allah mengasihani.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insyaallah.
      DIA Maha Tahu gerak kalbu makhlukNYA.

      Padam
  3. SEBAK.. lebih sebak apabila membaca tulisan Bonda Sobah..
    Ya Allah.. tidak pernah terlintas jauh sekali mengalami keadaan sedemikian sepanjang persekolahan.. ALLAHU AKHBAR..
    Segala pujian dipanjatkan kepada Allah..

    MALU.. malu bila melihat ke dalam diri dan melihat cara mendidik anak sendiri.. terasa betapa jauh ketinggalan..
    mendidik anak dgn hidup 'mudah' mmg mengundang 'perit' rupanya, kelak kpd mereka..

    "YA ALLAH.. bantu aku menjadi hamba-Mu yang sabar dan bersyukur...

    YA ALLAH.. anugerahkan keberkatan kpd kedua-dua Bonda ini utk terus beristiqamah menasihati dan mentarbiyah kami yg lalai dan sering terleka dgn nikmat-Mu Ya Rabb.."

    Bonda-bonda berdua.. mohon agar tidak jemu menasihati lagi dan lagi dan lagi kpd kami anak2 muda yg mentah dan tidak tahan susah ini!!.. Berikan pengajaran dan pengajian kpd kami ibu-ibu muda yg jahil dan nipis iman dan pengalaman ini..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah contoh antara keadilah NYA kan Tiny. Dalam perit ada mudahnya,dalam mudah ada peritnya.Hanya dirasai oleh yang tahu bersyukur.

      Dulu-dulu peluang tidak banyak untuk membuat pilihan mendidik anak,sekarang tinggal pilih sahaja yang mana bermatlamatkan Syurga.

      Padam

Catatan Popular